Monday, August 8, 2011

Lama Tidak Bercerita

1.  Lama sungguh tidak mengetuk kekunci di 'keyboard' di ruangan Kehidupan Sekitarku. Bukan malas, bukan sibuk...

2.  Entah siapalah yang 'block' blog aku ni. Rasanya tidak ada yang sensitif yang aku coretkan di sini. Maaf, sekiranya penulisan yang ada di sini mengganggu kententeraman serta jiwa sesiapa sahaja. Aku juga manusia. Seboleh-bolehnya aku mengawal agar tidak menyentuh peribadi sesiapa.

3.  Maaf sekali lagi. Tolong jangan 'block' blog aku lagi, kerana niat aku lebih kepada berdakwah.

Aku akan meneruskan tulisan ini....




Thursday, March 24, 2011

Pelajar Cemerlang 7 - Kerjasama

1. Kerjasama wujud daripada dua perkataan iaitu kerja dan sama. Dahulunya kerja sama-sama. Kerjasama amat penting semasa belajar di kolej atau universiti. Koperasi, asalnya Syarikat Kerjasama atau Bekerjasama-sama. Di dalam Islam, kerjasama amat penting dan ada ayat Al-Quran yang menggalakkan bertolong-tolong ke arah kebaikan. Maknanya, berkerja samalah ke arah kebaikan. Malah, solatpun digalakkan bersama-sama - jemaah la!

2. Banyak tugasan yang diberikan di peringkat kolej dilakukan di dalam kumpulan. Maka di sinilah kepentingan kerjasama itu dapat dilihat.

3. Setiap tugasan yang dilakukan mempunyai objektifnya yang tersendiri - objektif utama, tugasan mesti siap!

4. Peranan ahli kumpulan pula adalah berusaha melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan. Setiap seorang ada tugasan dan ada tanggungjawab.

5. Ahli kumpulan juga harus berkomunikasi dengan baik. Tidak boleh berbalah kecuali dengan kebenaran. Setiap ahli juga harus mempunyai komitmen yang tinggi - jangan biarkan kawan-kawan atau ahli kumpulan yang lain terkonteng-konteng.

6. Yang paling penting adalah saling percaya mempercayai. Apapun, biasanya pelajar cemerlang mempunyai semua sifat-sifat itu iaitu boleh dipercayai, nilai komunikasi yang baik, komitmen yang tinggi, dan bertanggungjawab. Dan biasanya pelajar cemerlanglah yang mencapai objektifnya...

Pelajar Cemerlang 6 - Bercinta

1. Selesai kelas Mandarin malam tadi, beberapa orang rakan sekelas keluar makan-makan bersama-sama. Pelbagai tajuk mengenai kisah rakan sekelas (terdiri daripada 'anak-anak' sahaja) dibincangkan bersama.

2. Antara lain, kami membincangkan mengenai kisah percintaan di kalangan pelajar universiti. Wajarkah? Biasanya jawapan yang diberikan agak berat sebelah (bias). Jika pelajar itu sedang bercinta, katanya bercinta boleh saja, begitulah sebaliknya.

3. Bercinta sebenarnya dibolehkan di dalam Islam, namun mempunyai batas agama dan batas adat. Agama sendiri tidak melarang kita bercinta. Yang paling penting niat kerana Allah, ikut kata Rasulullah apa yang disuruh, tinggalkan apa yang dilarang.

4. Percintaan sering memberikan impak yang negatif apabila berlaku krisis atau konflik. Ketika itulah pelajar malas belajar, bermenung-durja, suka marah-marah, tiada penumpuan di dalam pelajaran dan sebagainya.

5. Pelajar cemerlang fokus kepada pelajaran. Pelajar cemerlang lebih suka bercinta dengan Allah dan RasulNya, ibubapa dan saudara-maranya. Wallahualam.

Monday, March 21, 2011

Pelajar Cemerlang 5 - Bersedekah

1. Mungkin ramai yang pernah mendengar kata-kata "apa yang kamu beri, kamu akan menerimanya semula". Biasakan dengan ungkapan itu? Kebiasaannya kita akan menerima balasan lebih daripada apa yang kita beri, cuma kita tidak nampak.

2. Memberi sedekah kepada mereka yang memerlukan, pada hakikatnya bukannya mengurangkan harta benda yang disedekahkan, sebaliknya ianya semakin bertambah. Itu kata Rasulullah saw.

3. Sekiranya seorang pelajar itu memberi sedekah, biar sebesar mana harta yang disedekahkan, ianya akan memberikan kesenangan kepada pelajar berkenaan di dalam menuntut ilmu. Buktinya, Allah swt sendiri berfirman "Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Al-Baqarah, ayat 274).

4. Dengan bersedekah, para pelajar dapat mengurangkan tekanan semasa belajar. Untuk maklumat lanjut mengenai cara penggunaan harta dan hukum-hukumnya silalah merujuk Surah Al-Baqarah ayat 261 hingga 274.

5. Cuba formula ini, insyaAllah para pelajar akan menjadi cemerlang! Yang sedang bekerja juga boleh mencubanya kerana sipenerima akan mendoakan anda sama ada secara langsung atau tidak. Allah swt memberikan rezeki kepada Islam dan kafir, kenapa kita masih berkira?

Sunday, March 13, 2011

Pelajar Cemerlang 4 - Pilih kawan

1. Selalunya kita menemui pelbagai petua untuk cemerlang. Kebanyakannya lebih menjurus kepada mata pelajaran atau kaedah pembelajaran. Namun, kita juga harus menitik beratkan persekitaran yang memberi kesan negatif atau positif di dalam sistem pembelajaran kita.

2. Memilih kawan, bunyinya seperti tidak masuk akal atau kurang memberi kesan terhadap seseorang itu ketika beliau belajar.

3. Nabi Muhammad saw pernah bersabda, jika nak bau wangi, kawanlah dengan penjual minyak wangi. Jika nak kurang wangi, berkawanlah dengan si pembuat besi. Maknanya, dari segi fizikalnya jika nak bau wangi atau busuk pergilah ke tempat yang tersebut.

4. Kawan yang baik membawa kita ke jalan yang betul. Kawan yang baik mendorong kita untuk belajar dan terus belajar. Kawan yang baik menasihati kita dengan jujur. Kawan yang baik tidak membawa kita ke neraka. Kawan yang baik akan menjadikan kita baik. Kawan yang tidak baik, sebaliknya.

5. Selalu aku baca di dalam akhbar, khususnya akhbar mingguan - kata artis wanita A, "saya mahukan seorang suami yang baik, yang boleh mendidik saya. Yang sayang, caring. Suami yang taat perintah Allah swt." Maksudnya, artis ini mahukan kebaikan, sebab suami yang baik akan mendorong dia menjadi baik.

6. Kawan kita hisap rokok. Dia akan sakit. Jika mendekatinya, kita juga akan sakit...

Friday, March 11, 2011

Syukur

1. Sungguh anehnya manusia ini. Allah swt menciptakan manusia, tetapi ada manusia yang menyembah selain dariNya.

2. Sembahan manusia bukan sahaja pada patung, tokpekong, binatang dan sebagainya, malah manusia juga menyembah kerjanya, menyembah bosnya, menyembah keretanya, menyembah anak dan isterinya dan macam-macam lagi. Sanggup tidak solat sebab takutkan bos, sanggup tidak ke masjid untuk bersolat semata-mata membasuh kereta serta membuang chewing gum yang terlekat di dinding kereta dan sanggup membawa anak-nak bersiar-siar serta mengabaikan solat.

3. Bukankah itu semua menunjukkan manusia seumpama ini adalah manusia yang tidak bersyukur. Apakah darjat manusia seumpama ini. Haruskah Allah swt menambah nikmat kepada manusia ini. Atau apakah Allah hanya layan manusia seumpama ini gitu-gitu sahaja.

4. Malulah pada Allah kerana Dia yang menciptakan kita. Kita turut kata Allah, kita tidak turut kata Allah, Allah tidak rugi barang sebesar zarah sekalipun.

Satu contoh di mana Allah bebas menghancurkan yang mana Dia mahu dan yang mana Dia tidak mahu. Hebatkan Allah...
5. Renung-renungkanlah ayat ke 8 dari surah At Thalaq "Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang menderhaka perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasulNya, maka Kami hisab penduduk negeri itu dengan hisab yang keras, dan Kami azab mereka dengan azab yang mengerikan."
"

Thursday, March 10, 2011

Lampu

1. Aku pernah berkunjung ke Taiwan setahun dua tahun yang lalu. Taiwan adalah negara yang sebesar Negeri Pahang, bertanah rata. Ada sedikit bukit, ianya sebuah pulau dan sering diancam ribut taufan.

2. Hampir kesemua rakyatnya bercakap di dalam Bahasa Mandarin. Rasa kekok sangat-sangat kerana tidak tahu berbahasa Mandarin. Aku cuma boleh cakap 'lai', 'buyao' (sebutannya puyau), dan meiyou (sebutannya meiyo). Sekembalinya aku dari Taiwan, aku terus mendaftar untuk mempelajari bahasa Mandarin secara formal.

3. Di utara Taiwan letaknya Taipei, dan di selatannya Kaohsiung. Pertanian di negara ini antara yang terbaik di dunia. Hampir tiada langsung tanah kosong di sini. Bayangkan di antara dua bangunan kedai teres, ada bangunan yang telah diruntuhkan - di situpun ditanam padi! Kehebatan Taiwan di dalam sektor pertanian ini samalah seperti Belanda sebuah negara di Eropah yang turut aku pernah kunjungi.

4. Kehebatan Taiwan terletak kepada penduduknya. Penduduknya berdisiplin, barang kali kerana pernah ditadbir oleh Jepun.

5. Hampir semua tandas di pejabat-pejabat yang aku kunjungi bergelap sahaja. Bila masuk sahaja, suis lampu kita kena buka. Bila keluar, suis lampu ditutup semula. Jimat cermat sebenarnya diajar lebih awal oleh Islam. Malangnya, tidak ramai yang mempraktikkannya.

6. Sebenarnya apabila lampu dimatikan ketika tidak digunakan, kita akan menjimatkan penggunakan elektrik, kita akan menjimatkan wang untuk membeli mentol kerana tempoh hayatnya semakin lama, dan kita tidak menipiskan lapisan ozon yang kini antara sebab menjadikan bumi ini semakin panas.

7. Yang paling penting, kita mendapat redha Allah swt kerana mengikut ajaranNya yang menyuruh kita berjimat cermat. Mungkin dengan menutup lampu apabila tidak digunakan itu menjadi penyebab untuk kita masuk ke syurga. Siapa tahu?

Wednesday, March 9, 2011

Petua mengurangkan sibuk

1. Anda pasti pernah mengalami keadaan yang sibuk tidak pasal-pasal. Banyak sangat kerja. Banyak sangat gangguan. Di sekolah, di rumah atau di tempat kerja.

Sedang bersolat juga sibuk
2. Kesibukan tersebut kadang-kadang mengganggu kekusyukan ketika solat. Semasa berdiri, rukuk dan sujud, bayangan kerja, kesibukan, kerja sekolah, dan sebagainya bermain-main di kotak fikiran kita. Terlalu sibuk!


3. Lebih parah lagi, apabila solat dilengah-lengahkan disebabkan oleh kesibukan duniawi ini. Solat zohor, 10 minit sebelum asar. Kadang-kadang seperti solat jamak (tanpa qasar). Selepas zohor, terus buat asar. Kadang-kadang pula, lepas solat zohor (zohor gajah), terus bekerja dan solat asar dilakukan ketika hampir ke maghrib. Sebabnya, terlalu sibuk.

4. Jangan ketawa dengan isu ini. Isu ini serius. Cuba baca petikan di bawah:
“Di antara tanda berpalingnya Allah Subhanahu Wata’ala dari seorang hamba adalah Allah menjadikan kesibukannya pada hal-hal yang tidak bermanfaat baginya.”(Imam Al-Hasan al-Bashri)

5. Apabila Allah swt berpaling dari kita, kita menjadi sibuk (tidak pasal-pasal). Walhal masa yang diberikan kepada kita semuanya 24 jam. Sama rata, sama rasa.

6. Untuk mengurangkan kesibukan tersebut, berikut antara cadangan saya:
a. Kembali kepada Allah (bertaubat) - mulalah bersolat tepat pada waktunya.
b. Solat berjemaah (pahala besar, solat tepat waktu)
c. Selalu berhubung dengan ibu bapa - dapat ketenangan, masa berkualiti
d. Berbaik dan bermesra dengan keluarga, isteri dan anak-anak - masa lebih dimanafaatkan
e. Memberi keutamaan di dalam melakukan sesuatu aktiviti. Contohnya, mana kita pakai dahulu, kasut atau stokin. Tentulah kasut. Jadi di dalam melaksanakan pekerjaan kita hendaklah mendahulukan yang penting dahulu (tapi jangan pilih bulu)
f. Akhir sekali, setiap hari baca Al-Quran dan solat dhuha.

7. Kerja adalah amanah. Mesti buat dengan bersungguh-sungguh. Tetapi ingat, sampai kita matipun, kerja takkan habis - Bila kita mati, ada orang lain yang akan lakukan kerja itu!

Sunday, March 6, 2011

Pelajar Cemerlang 3 - Bantu Membantu

1. Jika belum pernah lakukan formula ini, mungkin boleh mencubanya secepat mungkin. Nabi Muhammad saw pernah bersabda iaitu belajar itu mengajar (maaf jika hadis yang diberikan kurang lengkap kerana hadis begini terlintas sahaja di kepala saya melalui pembacaan dan kelas-kelas yang pernah dihadiri).
Gambar hiasan - Bantu membantu ke arah kebaikan, InsyaAllah berkat 

2. Apabila kita mengajar rakan-rakan kita, ajarlah dengan sempurna. Kerana, ajaran yang baik adalah bekal kita ke akhirat begitulah juga ajaran yang tidak baik. Kedua-duanyapun jika diamalkan oleh yang menerima ajaran, dapatlah sikit habuan untuk kita - habuan ke syurga atau sebaliknya.

3. Jika kita mengajar orang lain, Allah swt akan memberikan ilham kepada kita untuk lebih memahami sesuatu subjek itu. Kadang-kadang sedang kita menerangkan sesuatu itu, kita akan lebih jelas tentang formula, atau kandungan sesuatu topik yang kita terangkan. Sedang kita mengajar - sebenarnya kita juga belajar.

4. Hal ini sukar diterjemahkan kerana tidak boleh ditunjukkan kelebihan dan keistimewaan apabila kita sedang mengajar orang lain. Namun, ramai yang telah mencuba dan kesannya amat hebat!

5. Apapun, selain mendapat ilmu, rakan-rakan akan turut mendoakan kita sama ada secara langsung atau tidak. Tak rugikan...

Saturday, March 5, 2011

MARAH

1. Marah itu adalah sebahagian daripada sifat yang ada pada manusia. Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya bahawa, seseorang yang tidak ada sifat marah itu bukannya manusia, tetapi yang marah berlebihan itu adalah syaitan (moga hadis ini benar-benar diterjemahkan).
(Gambar hiasan - Dia tidak marah kita)

2. Ada pelbagai sebab kenapa manusia itu marah. Sebenarnya, itu adalah sebahagian ujian bagi kedua-dua belah pihak - yang marah dan yang kena marah.

3. Bila marah, ada pelbagai cara pula yang diajar oleh Islam iaitu bila marah dan sedang berdiri, duduk. Ada juga kata ambil wuduk sebab Nabi Muhammad saw bersabda marah itu dari syaitan, syaitan dari api. Dan cara memadamkan api ialah dengan air. Dari segi saintifiknya memang terbukti! Istifar juga salah satu cara mengurangkan atau meredakan kemarahan.

4. Tapi kenapa perlu marah apabila kita boleh relaks sahaja. Contohnya di jalan raya yang sesak. Kita asyik menghon-honkan kenderaan lain, maki hamun dan sumpah seranah. Kemarahan kita itu tidak menyelesaikan apa-apa bukan? Lebih baik diam, dan beristifar. Jika lambat sampai ke tempat tujuan, apa boleh buat.

5. Islam menganjurkan semuanya, iaitu teknik mengurangkan marah dan sebagainya, antaranya supaya kita sihat dan ceria. Bila kurang marah, kuranglah tekanan. Kadang-kadang kesan marah di waktu pagi membawa kepada kurangnya mood sampai seharian.

6. Tapi, yang paling aku marah ialah apabila berurusan dengan pihak-pihak tertentu (biasanya di kaunter) - kita kena marah tanpa menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Ini aku benar-benar marah dan terus terduduk.

7. Ingat satu sahaja, bila marah orang lain terutamanya di depan khalayak ramai, yang kena marah akan berasa malu. Takut nanti di Padang Masyar dia pula yang marah kita di depan semua makhluk Allah swt yang ada di dunia ini tanpa seurat benangpun di badan kita (juga di badan dia).

Fikir dahulu sebelum marah!

Thursday, March 3, 2011

Tetamu

1. Pasti ramai yang pernah mengalami kunjungan orang-orang buta sewaktu menikmati hidangan di restoran-restoran. Semacam sindiket pula, seorang yang celik memimpin yang buta.

2. Dengan bermodalkan kertas tisu, kad penanda buku bertulisan braille atau kalendar. Kadang-kadang tekniknya sedikit berbeza, namun motifnya tetap sama - minta sedekah.

3. Sering kita melihat orang ramai enggan memberi derma dan tidak kurang menghina sama ada secara langsung atau tidak. Ada juga yang mengangkat kening atau menunjuk muka tidak puas hati selepas sibuta meninggalkan meja mereka.

4. Pandang dari sudut yang lain. Pertama, anggap mereka itu genuine iaitu memang memerlukan bantuan. Kedua, dalam banyak-banyak meja, dan dalam ramai-ramai orang, kitalah yang dihampirinya. Itu adalah peluang yang diberi oleh Allah. Maknanya dalam ramai-ramai, Allah hendak beri kita pahala!

5. Mulai hari ini jangan fikir panjang. Inilah salah satu perkara yang dapat membantu kita di akhirat selain doa anak yang soleh dan ilmu yang dimanafaatkan.

6. Nanti, bila sibuta datang ke meja kita - nak derma atau tidak?

Sikap

1. Kejayaan kita banyak dipengaruhi oleh sikap dan bukannya usaha. Rajin dan malas, itu sikap. Ceria dan muram, dihasilkan dari sikap dan sebagainya.

2. Minggu ini telah dua kali aku ke Pejabat Pos Universiti Malaya. Seharusnya seorang teller di kaunter pejabat tersebut berbangga kerana dapat masuk universiti, namun sikapnya amat mengecewakan. Dua hari lepas, seorang pelajar cina bertanyakan sesuatu dengan penuh sopan santun, tetapi tidak dilayannya kerana kaunternya telah ditutup.

3. Rakanku yang meminta nombor poskod darinya langsung tidak dilayan. Jenuhlah kami berdua menelefon ke sana ke mari bagi mendapatkan poskod. Ketika itu tengahari, dan kurang yang mahu menjawab panggilan.

4. Bagi kedua-dua insiden tersebut, jika dia melayani pelanggan dengan baik sudah pasti Allah merahmati beliau kerana doa pelanggan. Harus diingat bahawa cina dan melayu itu makhluk Allah. Allah sayang semua makhlukNya.

5. 15 tahun lalu, aku telah mencadangkan kepada seorang kerani untuk menghantar surat rasmi ke suatu alamat di taman tempat dia tinggal. Dia tidak mahu menghantar surat tersebut dengan alasan bukan kerjanya. Aku berbuat demikian agar dia dapat mengenali jiran dan dapat berhubung pada masa akan datang. Keengganan dia tidak dapat aku salahkan kerana itu bukan tanggunggungjawabnya.

6. Kini, beliau masih seorang kerani biasa. Aku rasa kerani di UM itu bakal menerima nasib yang sama. Moga Allah memberi rahmat atas mereka yang begitu dan kepada kita yang tidak begitu.

Monday, February 28, 2011

Temuduga

1. Kadang-kadang kita hebat, tetapi tidak berpeluang untuk ditemuduga. Sebabnya, resume kita kurang memberi kesan. Sekali tengok, sudah cukup menyampah!

2. Sewaktu negara dilanda kemelesetan ekonomi di sekitar tahun 80an, aku menghantar berkajang-kajang resume ke beberapa buah oraganisasi. Langsung tidak dilayan. Aku kehairanan.

3. Lantas aku meminjam wang ibuku, dan memohon restu untuk mencari kerja di Sabah. Hasratku tercapai. Lima orang kawan-kawanku ke Sabah, 2 di Kota Kinabalu - aku dan 2 lagi kawanku ke Labuan.

4. Temuduga hanya berlaku di atas feri dari Kota Kinabalu ke Labuan. Pelbagai persoalan diajukan, dan aku menjawab dengan penuh yakin. Aku diterima bekerja, dan jawatan pertamaku - Pengurus di sebuah syarikat komputer. Ada 13 orang pekerja di bawah seliaanku!

5. Kita mungkin terbaik, tetapi tidak menunjukkan yang diri kita adalah yang terbaik. Tunjukkan resume yang baik, supaya kaki dapat melangkah masuk ke organisasi yang kita minati dengan mudah. Langkah pertama dengan resume, dan langkah untuk mendapatkan resume yang terbaik adalah dengan ilmu.

Pelajar Cemerlang 2 - Tepati Masa

1. Zaman dahulu ketika aku pergi ke sekolah, aku terpaksa mengayuh basikal sejauh 6 atau 7 kilometer. Walaupun tidak sehebat Dr. Sidik Baba yang mengayuh lebih 30 km untuk ke sekolah, sedikit sebanyak penat jerih itu aku dapat rasainya.

2. Kadang-kadang sempat juga memberi lembu makan atau minum air garam, sempat juga beri ayam makan dedak, sempat mencari kutu di badan lembu dan sebagainya. Kasut sekolah basuh sendiri, dengan air perigi. Tengok TV di rumah jiran yang terletak kira-kira 1 kilometer.

3. Kepayahan hidup menjadikan aku cekal dan mampu berdikari. Mampu ke sekolah yang beratus kilometer seusia 15 tahun tanpa ditemani sanak saudara.

4. Kecekalan itulah yang menjayakan orang-orang terdahulu berbanding pelajar masa kini.

5. Sewaktu berada di kelas mandarin tadi, aku dan rakan seusiaku sahaja yang selalunya tiba sekurang-kurangnya awal 10 minit. Yang lainnya, paling awalpun, lewat 20 minit. Guru pula yang asyik menunggu. Guru pula yang bersungguh-sungguh. Betullah kata seorang ustaz sewaktu kuliah di masjid - zaman dulu anak murid bawa kitab, guru tak bawa apa-apa. Zaman sekarang guru bawa kitab, anak murid tak bawa apa-apa. Dunia dah terbalik.

6. Hormati guru dan masa adalah antara adab belajar. Jika kita menjaga hati guru, insyaAllah ilmu yang diterima akan menjadi mudah dan barakah. Payahkanlah diri kita walaupun tidak sepayah orang-orang terdahulu, walaupun sekelumit!

Sunday, February 27, 2011

ANAK MUDA

1.  Pengalaman merantau di negara orang membolehkan aku memerhati dan menyumbang sedikit pendapat mengenai kebaikan beberapa perkara yang boleh dicontohi.

2.  Sewaktu melalui Lebuhraya DUKE sebentar tadi, seperti biasa aku melihat pemuda-pemudi menjadi juru tol. Kadang-kadang bersimpati dengan mereka - bukan menghina.

3.  Lebih baik bekerja daripada menganggur. Diulang, lebih baik bekerja daripada menganggur.

4.  Di negara-negara Eropah dan Jepun, aku melihat juru tol terdiri daripada mereka yang tua-tua dan telah mencecah umur bersara. Selepas bersara, tenaga mereka berkurangan, tetapi masih boleh menyumbang kepada kemajuan dan kepesatan negara.

5.  Ramai juga yang menjada kaunter di gedung-gedung membeli belah sebagaimana pengalaman aku di Jepun.

6.  Anak-anak muda mereka bekerja di sektor yang memerlukan kudrat, idea dan segala-galanya yang anak muda boleh lakukan.

7. Harap-harap anak-anak muda bangsaku begitu hendaknya...

Friday, February 25, 2011

MENUDING JARI

1. Jalanraya sungguh sesak petang tadi. Dari jam 6 petang - Wisma Perkim ke IKIM mengambil masa 1 jam! Aku telah menggunakan pelbagai kaedah, akal fikiran dan akhirnya nekad untuk tersadai di Masjid Wilayah.

2. Rasa lega apabila dapat bersolat maghrib di situ.

3. Sewaktu di dalam kereta, terdengar rancangan Kerusi Panas di Bernama 24. Ceritanya pasal banjir hari sebelumnya di Jalan Tun Razak. Timbalan Pengarah (tak ingat namanya) memperkatakan tentang sistem amaran banjir melalui sms, internet dan sebagainya. DJ bertanya bertubi-tubi, tetapi tetamu dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini relaks sahaja. Tabik untuk beliau.

4. Pendengar, rata-ratanya marah kepada wakil JPS ini. Wakil ni selamba sahaja. Secara kesimpulannya pendengar marah kerana sistem amaran banjir tidak memberi manafaat jika masalah banjir tidak ditangani. Mangsa banjir tidak mahu banjir.

5. Akhirnya, seorang pendengar wanita menelefon dan mempersoalkan tentang manusia yang suka membuat banjir, seperti membuang sampah merata-rata, khususnya di dalam longkang.

6. Kita sering menuding jari ke arah penguatkuasa dan kerajaan, tetapi tidak menyalahkan diri sendiri (di dalam kebanyakan hal). Bukankah Allah pernah berfirman bahawa apa yang terjadi di dunia ini disebabkan oleh tangan-tangan kita sendiri. Jangan marah mereka, marah kita!

Wednesday, February 23, 2011

Pelajar Cemerlang I - Berbaik kepada guru

1.  Bukan senang nak berjaya! Seorang pelajar yang cemerlang hendaklah berbuat baik dengan guru-gurunya. Buat baik di dalam kelas atau bilik darjah seperti melayannya iaitu menjawab apabila ditanya, diam apabila guru memberikan penerangannya - itu panduan daripada Imam Al-Ghazali.

2.  Selalu-selalulah memadam papan putih tanpa disuruh-suruh. Pahalanya besar iaitu membantu guru serta membantu rakan-rakan sekelas.

3.  Rajin-rajinlah angkat barang-barang kepunyaan guru-guru. Senangilah hati guru tersebut.

4.  Bila guru buat lawak, ketawalah (setakat yang patut-patut), bersedihlah jika guru bersedih.

5.  Beli hadiah apabila tiba masa dan sesuai. Jika mampu belanjalah guru makan.

6.  Tapi jangan sampai berniat nak rasuah, atau tidak rasuah tapi nampak macam rasuah.

Tuesday, February 22, 2011

Road Tax Mati

Cukai Jalan di Malaysia
Cukai jalan atau road tax menjadi suatu kewajipan kepada mereka yang memilik kenderaan bermotor yang menggunakan jalanraya untuk memperbaharuinya. Ianya boleh mati, tetapi matinya bukannya seperti mati katak yang terpenyek di jalan-jalanraya.

Kebiasaannya, tuan punya kenderaan bermotor akan mati lebih dahulu sebelum cukai jalannya mati. Kenapa? Sebab apabila cukai jalan mati, tuan punya kenderaan akan menghidupkannya semula. Tetapi apabila tuan punya kenderaan mati, siapa yang hidupkannya semula? Jawapannya adalah Allah swt yang akan menghidupkannya kembali.

Pekerjaan menghidupkan hambaNya amat mudah di sisi Allah. Tidak perlu Allah bersusah-susah. Allah berfirman 'Jadilah' maka jadilah apa sahaja yang dikehendakiNya.

Begitulah kehidupan kita. Pada setiap kali cukai jalan mati, pelbagai tekanan yang timbul - wang tak ada, tak cukup, member berhutang tak bayar-bayar dan sebagainya. Tetapi semua masalah itu selesai dan akhirnya cukai jalan dapat diperbaharui. Bukankah itu kerja Allah, mengatur alam dan menuntut hambanya bersyukur. Dengan mudahnya Allah menyelesaikan masalah kita itu.

Monday, February 21, 2011

Merancang

1. Petang tadi, anak perempuanku yang di dalam Tingkatan 3 merungut-rungut.  Sudah lama dia merungut. Barangkali sudah lebih 3 bulan. Tidak lain dan tidak bukan mengenai pembelajaran beberapa subjek yang bakal ditukar dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu (Malaysia?).

2. Dia hairan kenapa perlu ditukar setelah bersusah payah sejak Tingkatan 1 cuba memahaminya. Sekarang dia dan semua rakan-rakannya di sekolah sudah biasa dengan penggunaan Bahasa Inggeris.

3. Setelah campurtangan pelbagai pihak secara emosi dan intelektual maka penggunaan bahasa tersebut akan ditukar.

4. Dahulu semasa awal tahun 1970an bahasa penghantar di sekolah ketika itu adalah Bahasa Melayu. Sebelum itu Bahasa Inggeris. Aku terpaksa bertungkus lumus mempelajarai semua subjek yang diajar di dalam Bahasa Inggeris ketika di ITM. Aku menyumpah seranah pemimpin yang telah menukar bahasa penghantar semasa aku di sekolah rendah. Sebabnya semua buku rujukan perakaunan adalah di dalam Bahasa Inggeris. Jika di'Melayu'kanpun akan bertambah pening kepala - penghutang, pemiutang, penyata penyesuaian bank, akru, prabayar, imbangan kewangan, kunci kira-kira (entah apa yang dikuncipun tak tahu) dan banyak lagi.

5. Kini, giliran anak aku pula. Anak-anak yang berusia 15 tahunpun hairan kerana keupayaan dan kebolehan mereka belum terbukti - tup-tup tukar polisi. Sewaktu di bawah kepimpinan Dr. Mahathir, semua pihak bersetuju. Sewaktu kepimpinan sekarang, pihak yang sama juga bersetuju. Pening.

6. Aku tidak suka dan tidak mahu mencampuri urusan mereka di parlimen. Aku tidak minat, tetapi buatlah kerja dengan perancangan yang teliti, buat kajian, buat perbandingan (dulu dan sekarang), buat percubaan, dapatkan feedback, setelah tempoh kajian dan percubaan selesai - buat post-moterm. Jangan belum sampai waktunya perkara yang dibuat habis begitu sahaja.

7. Pada dasarnya aku tidak bersetuju apabila dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Tetapi bila telah di'Inggeris'kan aku mahu ianya dikekalkan kerana aku mahu sesuatu dasar itu kekal biarpun Pak Menteri itu bertukar.

8. Satu lagi aku pening sangat-sangat -nak gunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia kerana seumur hidup aku rasanya dah berbelas-belas kali 'servis bertukar tangan'.

Saturday, February 19, 2011

Buang Masa

1. Seperti biasa, apabila beratur untuk membayar tol pasti mengalami pengalaman ini.

2. Apabila pemandu perempuan di hadapan berada di tol, biasanya dia mengambil masa yang agak lama. Pada ketika itulah dia akan mencari-cari wangnya. Buka di sini, tutup di sana. Cari purse, cari, cari dan cari.Kita yang di belakang ni, menonong sahaja!

3. Sewaktu kita sama-sama beratur tadi, dia tidak melakukan aktiviti mencari. Di situ pula dia sibuk!

4. Sewaktu membuat bayaran di kaunter-kaunter pasaraya atau supermarket, fenomena yang sama juga berlaku. Masa itulah hendak buka ini, dan buka itu. Bukankah sewaktu cashier melakukan kerja-kerjanya, kita sudah boleh menganggarkan jumlah bayaran yang sepatutnya kita bayar.

5. Jika kita mementingkan orang lain, perkara ini tidak akan berlaku. Jadi, apa yang perlu dilakukan hanyalah bersedia untuk membayar supaya tidak menyusahkan orang lain.

6. Memudahkan orang lain dan mengembirakan mereka pasti mendapat ganjaran daripadaNya.

Friday, February 18, 2011

Kalimah Pensyarah

Berikut adalah beberapa kalimah yang aku masih ingat, yang disampaikan oleh pensyarahku:

1. Ketika bilakah kita mementingkan diri sendiri? Ya, rata-rata ramai orang mementingkan dirinya sendiri di saat ini. Tidak ada sesiapapun yang menyangkal bahawa dia tidak mementingkan dirinya pada ktika itu. Percaya atau tidak, bahawa manusia mementingkan dirinya ketika melihat gambarnya yang diambil secara beramai-ramai.

2. Ketika itu, mata hanya tertumpu kepada dirinya sahaja - tidak menghiraukan gambar orang lain.

3. Waktu bilakah masyarakat kita begitu efisien? Jawapannya sewaktu di dalam lif. Sungguh efisien! Sewaktu pintu lif terbuka, ketika itulah kita menekan punat untuk menutupnya.

Thursday, February 17, 2011

teksi

1. Aku menaiki teksi dari Gua Musang ke Kota Bharu. Jarak perjalanan tidak sampai 200 km tetapi mengambil masa selama 3 jam. Kini berhenti di masjid untuk solat Jumaat.

2. Di sepanjang perjalanan tadi, Pak Lah dan saya menceritakan tentang kehidupan persekitaran kita, tentang iman dan Islam, tentang ilmu dan amal. Sungguh menarik!

3. Pak Lah berumur 63 tahun dan memandu teksi sejak berumur awal 20an. Beliau mempunyai 9 orang anak. 2 orang graduan universiti dan seorang masih menuntut di universiti. Punca pendapatannya hanyalah dari teksi sahaja.

4. Selama 4 dekad beliau mencari rezeki dan sela itulah menyalurkannya kepada keluarganya. Bayangkanlah pahala yang diterimanya dengan hasil usahanya itu. Kita juga akan menerima balasan yang baik jika niatnya juga baik. Subuh tadi, selepas solat beliau berdoa agar orang Islam menaiki teksinya, agar mudah dia bersolat Jumaat hari ini. Doanya Allah makbulkan.

5. Pak Lah berdoa agar beliau dapat mengerjakan haji tahun ini. Sudah 3 tahun berlalu beliau terasa teramat rindu ke Tanah Suci, tempat yang belum beliau pernah jejaki. Moga doanya ini dimakbulkan Allah swt.

Wednesday, February 16, 2011

Pemakaian Sneakers Ke Pejabat

1. Pemakaian sneakers ke tempat kerja merupakan satu fenomena biasa di negara-negara barat. Pengalaman saya ke German, United Kingdom, Belanda, Switzerland, malah ke negara Jepun, ianya merupakan lumrah bagi mereka.

2. Mereka memakai sneakers agar lebih selesa dan menyihatkan badan. Jika memakai kasut kulit sudah pasti kaki tidak selesa dan memberikan kesan jangkapanjang terhadap kaki dan tulang belakang.

3. Apabila tiba di pejabat, mereka menukar ke kasut yang lebih sempurna dan sesuai dengan kehendak organisasi tempat mereka bekerja. Lelaki akan memakai kasut kulitnya, dan wanita memakai kasut bertumit tinggi (ikut kesesuaian).

4. Mereka memakai kasut yang cantik-cantik di pejabat, salah satu sebabnya agar pelanggan tertarik dengan organisasi berkenaan.

5. Keadaaan di negara kita terbalik. Bila masuk ke pejabat-pejabat, apa yang kita saksikan wanita-wanita kita yang tadinya menaiki komuter dengan kasut tumit tingginya, berjalan sejauh tidak kurang 1 kilometer, memakai selipar di pejabat. Lelaki juga tidak kurang selekehnya apabila berselipar di pejabat.

6. Apabila membuat sesuatu pekerjaan itu, fikirkanlah tujuan dan matlamatnya; dan apakah faedah melaksanakan sesuatu perkara itu. Imej diri yang baik memberikan kesan yang baik terhadap diri, keluarga, organisasi dan negara.

Pahala berterusan

1. Seperti biasa aku bermain badminton setiap Selasa. Hari ini seorang rakan sepermainan mengadu sakit pinggang, terutamanya di bahagian punggungnya.

2. Mudah sahaja untuk mengatasi masalah itu! Wallet yang biasanya diletakkan di bahagian belakang poket hendaknya diletakkan di depan sahaja. Wallet yang tebal itu telah menekan satu urat saraf yang menyebabkan laluan darah terganggu.

3. Sakit ini akan lebih ketara semasa memandu kereta dan apabila wallet diletakkan di poket belakang.

4. Aku tahu perkara ini melalui seorang pakcik yang pakar di dalam bidang refleksologi. Dia telah menyampaikan ilmunya itu, dan aku sebarkan. InsyaAllah, setelah 2 minggu mengubah posisi wallet, sakit belakang semakin sembuh.

5. Mudah sahajakan. Pakcik tersebut mendapat pahala yang berterusan dengan ilmu yang beliau ada. InsyaAllah sehingga hari kiamat. Wallahualam.

Monday, February 14, 2011

Salawat untuk Rasulullah saw

1. Selawat dan salam untuk junjungan besar Rasulullah saw. Inilah sebenar-benar kekasih - iaitu kekasih Allah swt.

2. Pertama kali mengunjungi baginda berjurai airmata ini kerana mengenangkan pengorbanannya untuk menjadikan umat manusia umat yang sempurna. Malangnya masih ada yang tidak sudi menerimanya. Sewaktu hijrah baginda ke Taif, hanya kata-kata keji dan lontaran batu sahaja yang baginda terima. Baginda tidak berdendam sebaliknya mendoakan agar kesemua penduduknya memilih Islam.

3. Setiap hari, setiap waktu umat Islam datang beramai-ramai memberi salam serta menziarahi baginda kecuali ketika masjid Nabawi ditutup. Rasa sayu, sedih yang tidak dapat digambarkan dalam apa bentuk media sekalipun. Baginda sungguh mulia, dan tidak ada manusia lain yang setanding dengan baginda.

4. Ya Rasulullah, aku amat merinduimu. InsyaAllah aku akan menziarahimu lagi di Ramadhan ini.

5. Berilah syafaatmu di akhirat nanti. Kuingatimu di hari lahirmu ini, dan insyaAllah di sepanjang hayatku kerana jasamu tidak dapat langsung kubalas...

Saturday, February 12, 2011

Berdiri di luar masjid

1.  Saya baru saja pulang dari masjid bagi mengerjakan solat zohor berjemaah. Solat amat dituntut di dalam Islam. Perkara itu membezakan kita dengan orang-orang kafir. Solat berjemaah juga amat dituntut. Rasulullah saw pernah bersabda agar rumah mereka yang tidak bersolat berjemaah dibakar. Namun, tidak sebuah rumahpun dibakar pada ketika itu. Barangkali Rasulullah saw mahu menekankan bahawa mereka yang tidak bersolah jemaah dikira seluruh harta bendanya tidak bernilai sama sekali. Mungkin.

2.  Hari ini hari Ahad. Ada pengantin lelaki yang turut bersolat. Siap dengan baju melayu berwarna pink. Warna yang jarang orang lelaki memakainya. Di luar kelihatan beberapa buah kereta yang enjinnya masih hidup. Terdapat penumpang-penumpang yang masih menunggu di dalam kereta-kereta tersebut. Ada juga beberapa orang anak-anak muda yang berkeliaran di sekitar masjid, dan ada yang duduk. Mereka tidak solat berjemaah.

3.  Pada saya amat rugi sekali. Kita dikira sombong dan tidak mensyukuri nikmat Allah kerana tidak mengendahkan panggilan Allah untuk ke masjid. Pernah juga saya terbaca hadis yang mengatakan bahawa tidak sempurna solat bagi mereka yang tidak berjemaah.

4.  Apa salahnya, jika lalu di masjid, dengar azan lalu terus mengambil wuduk dan terus solat berjemaah. Susahkah? Bukankah itu yang membezakan antara Islam dan kafir. Bukankah kita seperti orang kafir jika tidak solat? Saya tidak boleh menuduh kerana itu adalah hak Allah untuk menghakiminya.

5.  Kadang-kadang apabila ada upacara solat jenazah di masjid, saya lihat ramai orang yang berlegar-legar di luar masjid. Mereka ini tidak menghormati si mati yang mungkin terdiri daripada ibubapa mereka sendiri, saudara mara atau rakan taulan. Mereka sekadar datang tetapi tidak memberikan apa-apa manafaat kepada si mati.

6.  Saya sedih. Kadang-kadang terlintas ingin menanyakan soalan 'bagaimana mengerjakan solat jenazah' kepada bakal pengantin sebelum ijab-qabul dijalankan. Biar tidak boleh jawab.

7.  Apa yang kita lakukan hari ini, akan dibalas kelak. Jika kita malas solat ianya akan dituruti oleh orang yang kita sayangi. Jika kita tidak solat jenazah untuk ibubapa, anak-anak turut tidak solat untuk kita. Jika kita berbuat dosa, kelak kita menerima balasan yang setimpal.

8.  Kita lupa bahawa mati tidak mengira usia. Ingatan Rasulullah saw terpakai untuk semua peringkat usia. Jangan ingat kelapa tua sahaja yang gugur dari tandannya, yang muda juga turut gugur. Cuma masa sahaja yang menentukan. Masa juga digenggaman Allah swt.

Hadapi Peperiksaan

1. Salah seorang anak buahku telah meminta nasihat - tips untuk menghadapi peperiksaan. Pada masa dan ketika ini, peperiksaan adalah topik perbincangan yang terlalu umum. Di mana-mana sahaja ibubapa dan guru-guru membincangkannya. Pada zaman dahulu, mungkin sekitar 20 tahun lalu, menghadapi peperiksaan bagai menghadapi hari-hari biasa sahaja. Tidak seperti sekarang ini. Kadang-kadang, ibubapa tidak ambil endah samada anak mereka periksa atau tidak. Yang penting bagi mereka adalah tiada dakwat merah di buku laporan. Sebat jawabnya.

2. Markah lulus adalah 50 daripada 100. Kurang 50, jawabnya merah! Jadi, pada ketika itu berlumba-lumbalah anak-anak mencapai sekurang-kurangnya markah 50. Itu standardnya. Sebab itulah pada ketika itu jarang kita mendengar Peperiksaan Penilaian Darjah 5 (seakan-akan UPSR ketika ini), murid-murid memperolehi 5A. Yang hebatpun mendapat 3A2B - itupun dah buat kenduri kesyukuran 3 hari, 3 malam (sekadar melawak). 3A dah boleh masuk MRSM dan Sekolah Sains. Hebat tu!

3. Hebatnya anak-anak pada ketika itu sudah boleh berdikari. Boleh memasak, kukur kelapa, siang ikan dan ayam, dan macam-macam lagi. Setakat hidupkan api di dapur kayu dan giling rempah - kacang jer tu.

4. Persediaan menghadapi peperiksaan terbahagi kepada dua, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan. Sebelum peperiksaan termasuklah belajar awal, buat kerja rumah, taat ibubapa dan guru, bekerjasama, solat dan sebagainya. Manakala semasa peperiksaan pula adalah siapkan peralatan peperiksaan, datang awal ke dewan dan sebagainya. Semua ini ramai orang telah membincangkannya.

5. Apapun, yang paling penting bagi menghadapi peperiksaan adalah mengawal tekanan dan menyelesaikannya.

6. Berbalik kepada tekanan untuk mencapai markah 50, menjadikan murid-murid secara keseluruhannya tidak memperolehi markah 80 atau lebih. Tekanan merupakan faktor penting di dalam kejayaan seseorang. Tanpa tekanan, mungkin perjalanan hidup tiada ertinya. Bayangkan ya - jika kamu kerja atau tidak dapat gaji. Bos tidak boleh marah, tiada deadline, pelanggan tidak ambil kisah dan lain-lain. Itu semua antara tekanan dalam hidup.

7. Begitu juga tekanan sebelum dan semasa peperiksaan. Perlu baca banyak lagi bab, tidak faham walaupun peperiksaan sudah hampir, benci dengan guru dan pensyarah, berlaku kematian orang tersayang, pasangan kekasih buat hal, dan 1001 macam tekanan.

8. Semua tekanan ini berbeza antara satu sama lain. Selesaikannya atau kurangkan tekanan itu. Tahu masalah, cari alternatif penyelesaiannya, pilih alternatif terbaik, implemen, buat langkah-langkah pembetulan, dan ulang semula jika tidak berhasil (iaitu tahu masalah...).

9. Ingat, bila tekanan berlaku, kamu sepatutnya lebih tabah. Jadikan tekanan sebagai satu cabaran. Mendapat 50 markah atau ke atas, rotan tidak hinggap ke bontot.

10. Apa tekanan kamu - apa penyelesaiannya - apa yang kamu inginkan? Jika kamu boleh menjawab, dan menyelesaikan atau mengurangkan tekanan, insyaAllah anda bersedia untuk peperiksaan.

11. Ingat - DOA - USAHA - TAWAKKAL.

Friday, February 11, 2011

Anugerah

Aku sedang menyaksikan ramai rakan-rakan sekerja menerima pelbagai anugerah. Sesungguhnya anugerah dan hadiah yang diterima itu adalah hasil usaha mereka serta anak buah mereka. Juga ianya hasil usaha dan kesabaran pasangan dan ibubapa masing-masing. Tahniah untuk mereka semua.

Namun, semua usaha itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa keredhaan Allah swt. Bagaimana untuk mendapat keredhaan Allah? Allah sayang semua hambanya, dan kasih kepada hambanya yang taat. Yang taat inilah yang mendapat tempat di sisi Allah. Sebagaimana di dalam Al Quran, Allah swt tidak memandang manusia itu dari segi fizalnya, tetapi darjah atau tahap ketaqwaan hamba tersebut. Mudahkah untuk dikasihi? Semua itu digariskan di dalam Al Quran dan disampaikan oleh Rasulullah saw. Untuk mencapai tahap dikasihi, paling mudah adalah membuat baik atau ikut apa yang Rasulullah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Ini semua boleh dilaksanakan kerana naluri dan sifat kejadian manusia mahukan perkara yang baik-baik.

Moga memperolehi anugerah terhebat, yang kita tidak layak, hanya rahmatNya sahaja - syurga Allah swt.

Thursday, February 10, 2011

Fikirkan semula

1. Sewaktu di sekolah rendah, saya dan rakan-rakan pada ketika itu dimomok-momokkan dengan penceritaan, sejarah dan maklumat yang mengelirukan. Kadang-kadang terbawa-bawa sehingga umur sudah hampir habis iaitu makin menuju ke liang lahat.


2. Di sekolah sekitar tahun 70an, diajar bahawa agama yang terawal di dunia adalah agama Hindu. Ini berdasarkan maklumat yang diberikan oleh sejarawan dari Barat dengan 'bukti' yang mereka 'perolehi'. Benarkah begitu?

3. Baru-baru ini saya bertanya kepada rakan-rakan yang sebaya mengenai agama terawal di mukabumi Allah swt ini. Ramai yang masih kabur dan tidak seorangpun menjawab ISLAM! Pelikkan?

4. Pagi tadi seperti biasa membaca ayat-ayat suci Al-Quran saya mendapati bahawa nabi-nabi terdahulu juga menyembah Allah swt. Jadi, apakah agama nabi-nabi terdahulu? Adam, Idris, Noh, Hud, Salleh hinggalah ke Muhammad saw menyembah Allah swt. Bukankah Adam as adalah manusia pertama di mukabumi ini?

5. Carilah di mana-mana nas yang tersimpan dan kekal sehingga hari ini yang menyatakan Adam menyembah apa atau siapa? Hanya Al-Quran sahaja yang menjelaskan bahawa Adam menyembah Allah swt. Jadi, apakah agama Adam itu?

6. Adam as adalah seorang Islam. Ya, agama Islam. Yang membezakan antara Islam Adam dan Islam umat Muhammad saw adalah dari segi syariatnya sahaja. Dari segi aqidah sama sahaja. Syariat nabi-nabi terdahulu hanya sesuai untuk umat-umat pada ketika itu sahaja. Tetapi, syariat yang dibawakan oleh Muhammad saw untuk umatnya.

7. Jadi, apakah agama yang mula-mula di mukabumi ini?

Lengah Kerja

Situasi melengah-lengahkan kerja berlaku di mana-mana. Namun ianya bergantung kepada sikap dan tingkah-laku individu. Kadang-kadang ianya terjadi disebabkan oleh persekitaran bekerja itu sendiri. Tidak kurang juga disebabkan oleh sikap dan tingkah laku yang telah ditunjukkan oleh ibubapa masing-masing.

Di pejabat sering kita lihat individu yang selalu melengah-lengahkan kerja. Apabila pelanggan membuat tuntutan contohnya, kita sengaja melengah-lengahkan pembayarannya. Kadang-kadang tidak ada alasan untuk melengah-lengahkan pembayaran tersebut. di sinilah sikap memainkan peranannya.

Sikap ini amat tidak baik dan perlu dielakkan. Kenapa perlu kita lengahkan urusan tersebut? Bukankah Rasulullah saw pernah bersabda tentang merebut lima perkara sebelum datang yang lima? Antaranya masa lapang sebelum masa sibuk. Semasa kita lapanglah kita membuat tuntutan daripada pelanggan tersebut. Kelak, bila Allah swt menarik masa lapang tersebut, pasti kita akan mengalami stress atau tekanan membuat kerja di saat-saat akhir.

Saya pernah bekerja di syarikat yang mempunyai sumber dana yang terhad. Ketika itu, apabila pembekal meminta bayaran mereka, macam-macam yang kita tipu mereka - cek belum ditandatangani, bos belum masuk lagi dan sebagainya. Tetapi, apabila syarikat mempunyai wang yang cukup, kita pula yang lembap dan malas. Ubahlah sikap supaya menjadi insan yang bersyukur.

Jangan sampai Allah swt menarik nikmat yang telah diberikan selama ini. jika kita mengembirakan orang lain, nescaya Allah swt akan mengembirakan kita pula.

Buatlah kerja dengan ikhlas. Ingat satu sahaja - hari ni kita tak uruskan pembayaran tu, esok kena buat juga. Siapkan hari ni!

Wednesday, February 9, 2011

Kehidupan

Bermulalah kehidupan. Tiap yang bermula, pasti akan berakhir. Hari ini, ianya bermula. Blog yang hidup pada hari ini akan memulakan penceritaannya.
Entah bila akan berakhir...